Tuesday, November 2, 2010

Temuramah Bersama KAN Kampun Inok mengenai M

Semasa saya mengantar mesej kepada semua ahli group Rungus 1Malaysia mengenai artikel "Dilema Magahau- antara identiti, budaya dan kepercayaan", pada 26.10.2010, saya terpaksa meringkaskan perkataan Magahau kepada M sahaja. Jika perkataan Magahau ditulis penuh, Facebook.com tidak menghantar mesej tersebut dan memaparkan mesej "Your message contain blocked content". Perkara ini berlaku kerana ada orang yang telah melaporkan kepada Facebook.com bahawa perkataan Magahau ini telah disalahgunakan (misused) atau "spam". Mujurlah pada 27.10.2010, Facebook.com telah mengeluarkan semula perkataan Magahau daripada senarai perkataan yang telah dihalang (blocked). M dalam tajuk artikel ini bermaksud Magahau.

Saya tidak salahkan orang yang melaporkan kepada Facebook.com bahawa perkataan Magahau telah disalahgunakan di Facebook.com. Saya yakin niat beliau adalah untuk melindungi masyarakat "Rungus bukan labus" daripada terpengaruh untuk melibatkan diri dalam pesta Magahau yang dia percaya adalah upacara penyembahan berhala (ritual). Sesiapapun akan silap membuat perkiraan keadaan jika tidak mempunyai maklumat yang tepat dan lengkap.

Pada petang 27.10.2010, jam 3.00pm, saya telah ke Mahkamah Anak Negeri Matunggong untuk mendapat lebih banyak maklumat mengenai Magahau. Mujurlah pada ketika saya tiba di sana, KAN Kampun Inok (Ketua Anak Negeri - KAN) berada di pejabatnya dan sudi ditemuramah oleh saya. Berikut adalah catatan temuramah tersebut:

Saya: Apakah maksud Magahau?
KAN Kampun Inok: Magahau ialah perayaan bangsa Rungus yang paling besar.

Saya: Apakah kaitan Magahau dan Mamapak?
KAN Kampun Inok: Pada zaman dahulu setiap kali ada Magahau, mesti ada Mamapak. Mamapak dianggap sebahagian daripada Magahau.

Saya: Apakah maksud Papak Tavasi?
KAN Kampun Inok: Papak Tavasi ialah upacara Mamapak yang dilakukan selepas Papak Taraat. Papak Taraat ialah upacara Mamapak yang dikhususkan untuk upacara Lumuvas atau Mongukas. Lumuvas ialah upacara yang dibuat pada penghujung tempoh berkabung, selepas kematian ahli keluarga Rungus labus.

Saya: Apakah ini bermaksud Papak Tavasi hanya boleh dibuat selepas upacara Lumuvas?
KAN Kampun Inok: Papak Tavasi boleh dibuat tetapi tidak dipanggil Papak Tavasi. Ia dipanggil sebagai Mamapak sahaja atau Pinapakan. Tetapi tujuannya adalah sama.

Saya: Apakah tujuan bagi Papak Tavasi atau Mamapak diadakan?
KAN Kampun Inok: "Monginsogit dot  palad, ongkob, ginamaan om vangun"
Catatan: Mohon maaf. Saya tidak dapat terjemahkan ayat di atas ke dalam bahasa Melayu dengan tepat tanpa mengubah maksud asal. Semua perkataan di atas ada di dalam bahasa Melayu tetapi maksud asalnya akan berubah apabila diterjemah. Frasa di atas boleh ditafsir maksudnya ke dalam bahasa Melayu tetapi sebaiknya saya menggunakan frasa asal untuk memudahkan orang Rungus lebih faham lagi. 

Saya: Apakah upacara Papak Tavasi atau Mamapak hanya boleh dibuat semasa Magahau sahaja?
KAN Kampun Inok: Tidak. Upacara Papak Tavasi atau Mamapak boleh dibuat walaupun tidak ada Magahau.

Saya: Apakah tujuan upacara Papak Tavasi, iaitu "Monginsogit dot palad, ongkob, ginamaan om vagun",  yang dibuat semasa Magahau sama dengan tujuan upacara Papak Tavasi yang dibuat semasa BUKAN Magahau?
KAN Kampun Inok: Ya sama sahaja tujuannya iaitu "Monginsogit dot palad, ongkob, ginamaan om vangun".

Saya: Bilakan Magahau diadakan?
KAN Kampun Inok: Magahau diadakan selepas Papak Tavasi turun (kendahu) atau selepas upacara Mamapak jika tidak ada lumuvas.

Saya: Apakah tujuan Magahau?
KAN Kampun Inok: Magahau diadakan kerana beberapa sebab. Di antaranya ialah:
  1.  Berkongsi rezeki dengan keluarga dan rakan-rakan dengan memberi makanan dan minuman. (Posikib dot konsapatan sid keluarga om kinoruhangan dot inono gama pakan om penum).
  2. Menjemput sanak saudara berkunjung. (Mongodim dot kovorisan poriikot antawa pandaha)
  3. Bergembira/berpesta (humigak).
Saya: Apakah yang dimaksudkan dengan rezeki (konsapatan) dalam konteks Rungus zaman dahulu?
KAN Kampun Inok: Makanan yang berlebihan, hasil tanaman yang banyak, kesihatan yang baik dan  kehidupan yang makmur.

Saya: Adakah Mamapak adalah salah satu daripada tujuan Magahau diadakan?
KAN Kampun Inok: Tidak. Tujuan Magahau adalah seperti yang saya beritahu tadi. Bagaimanapun setiap kali ada Magahau mesti ada Mamapak. Upacara Mamapak dianggap sebahagian daripada Magahau pada zaman dahulu.

Saya: Apakah aktiviti-aktivti semasa Magahau selain daripada Mamapak pada Rungus zaman dahulu?
KAN Kampun Inok: Acara utamanya ialah makan dan minum serta menari tarian megol sumundai. Selain itu ada juga yang menyanyi lagu-lagu tradisi seperti mongondi, mongodihohi, misundait dan macam-macam lagi. Para remaja pula ada yang mencari jodoh (monuddung). Kadang-kadang mereka yang datang dari jauh membawa bersama mereka gong untuk dijual. Bagaimanapun mencari jodoh dan menjual barang-barang tersebut bukanlah objektif Magahau itu sendiri. Ia berlaku secara tidak langsung dan telah menjadi kebiasaan atau amalan pada zaman dahulu. 

Saya: Pada zaman dahulu, bolehkah Magahau diadakan tanpa upaca Mamapak?
KAN Kampun Inok: Tidak boleh. Setiap Magahau mesti ada upacara Mamapak.

Saya: Mengapa tidak boleh Magahau tanpa Mamapak?
KAN Kampun Inok: Pada zaman dahulu, setiap binatang peliharaan yang disembelih mesti ada "tujuan" untuk diberikan kepada penunggu (rogon) atau tuhan yang disembah Rungus labus. "Nangaranan no laid isai ot patahakan dit sokoviai it dupot dit garason terutamanya vogok. Manuk po ma ot garason yadkeno i". Oleh itu jika menyembelih binatang peliharaan semasa Magahau tanpa ada upacara Mamapak untuk menyerahkan binatang tersebut kepada yang disembah Rungus labus, masyarakat Rungus berasa janggal.  Lagipun jika ia mampu menyembelih binatang piliharaan (vogok) bermaksud ia mampu melaksanakan upacara Mamapak. Oleh itu tiada sebab mereka tidak melakukan upacara Mamapak. Kedua, jika menyembelih vogok tanpa upacara Mamapak, ia boleh menyebabkan koriva. Seolah-olah ada yang meninggal dunia dan perlu ukasan atau lumuvas. Ketiga, apabila Magahau sudah tentu rumah panjang akan bising. Lelaki dewasa lazimnya mibangkavan atau berjalan berkumpulan sepanjang rumah panjang dan ramai yang menyanyi serta menari mongigol sumundai. Kebisingan ini boleh menyebabkan kohinsab. jika tiada upacara Mamapak sebelum Magahau. Sebab penunggu rumah (rogon valai) terkejut dengan kebising tersebut dan tidak mendapat maklumat awal (amu nokentahan). 

Saya: Adakah "kasambag"  boleh berlaku jika Magahau diadakan tanpa Mamapak?
KAN Kampun Inok: Rasanya tidak sebab Magahau pada zaman dahulu dibuat di dalam rumah panjang bukannya di padang atau dewan terbuka seperti sekarang. Lagipun kasambag ini berlaku kepada kanak-kanak sahaja. Kohinsab itu berlaku jika melakukan kebisingan di dalam rumah sementara kasambag berlaku jika berbuat bising di luar rumah tetapi lebih kepada kanak-kanak sahaja.

Berdasarkan maklumat daripada temuramah di atas, saya telah merangka satu borang soal selidik yang bertujuan untuk menguji sejauh mana ketua-ketua anak negeri (KAN) yang lain di Mahkamah Anak Negeri Matunggong, bersetuju dengan penjelasan beliau. Soal selidik tersebut telah dihantar ke Mahkamah Anak Negeri pada 29.10.2010 melalui OKK Thomas Jamalun Ojimal. Populasi 103 orang ketua kampung di bawah Mahkamah Anak Negeri Matunggong. Bagi mendapat maklumat yang lebih tepat hanya ketua kampung yang berumur 50 tahun ke atas yang diminta mengisi borang soal selidik.

Paling Popular

Senarai Blog...