Saturday, November 6, 2010

Simposium Bahasa Rungus 2002- Kenang-kenangan Kkrd

Kelmarin petang (5.11.2010), saya terjumpa laman web Rungus Dusun Leadership Club (Kkrd) di link berikut: http://www.oocities.com/upkkrd/, tetapi saya tidak sempat buat catatan ini kerana agak sibuk dengan perkara lain. Sebenarnya sudah sekian lama saya tidak pernah melihat laman web ini kerana sebelum ini, laman webKkrd  menumpang di Geocities.com. Apabila Geocities tidak lagi memberi kemudahan webhosting percuma maka laman web tersebut telah kehilangan tempat bertapak. Mujurlah Oocities.com telah menyimpan hampir kesemua laman web yang terdapat di dalam Geocities.com dahulu, termasuklah laman web Kkrd. 

Apabila terbaca kembali laman web Kkrd, kenangan di awal penubuhan kelab tersebut mula terbayang di fikiran saya. Sebenarnya cadangan untuk menubuhkan kelab ini bermula pada tahun 2000. Pada ketika itu saya berkawan rapat dengan OKK Jamalun Ojimal, En. Andrew Majintan, Cikgu Jackson Akat, WKAN Matius Asang, KMC Wong Kim Fui, En. Sadi Gianson dan beberapa lagi ketua kampung.

Pada ketika itu, kami mempunyai minat yang sama iaitu minat belajar undang-undang adat Rungus, bahasa Rungus klasik yang jarang digunapakai pada zaman ini dan ilmu warisan kepimpinan Rungus. Bermula dengan minat tersebut, kami sering berjumpa dan melakukan percambahan ilmu. Akhirnya idea untuk menubuhkan Kkrd telah diketengahkan dan saya sendiri telah diminta untuk mengurus penubuhan tersebut. Tujuan kami menubuhkan Kkrd adalah untuk menjadikan kumpulan kami lebih terorganisasi dan legally established. Agar kami dapat bergerak secara sah di sisi undang-undang dan membolehkan kami menganjur program-program yang berkaitan dengan undang-undang adat dan bahasa Rungus.

Pada awal tahun 2002, Kkrd telah merancang untuk menganjurkan Simposium Bahasa Rungus 2002. Objketif utama simposium ini adalah untuk membincangkan secara ilmiah sistem penulisan bahasa Rungus. Ini adalah ekoran beberapa pandangan yang berbeza mengenai sistem penulisan bahasa Rungus yang standard. Akhirnya pada 31 Mei 2002 Simposium Bahasa Rungus telah dilaksanakan dengan jayanya. Inilah kenang-kenangan dan sumbangan Kkrd yang terbesar di dalam bangsa Rungus.

Berikut adalah link bagi laporan rasmi Simposium Bahasa Rungus 2002:
http://www.oocities.com/upkkrd/laporansimposiumbahasaRungus31Mei2002.doc.

Malangnya apabila masa berlalu, komitmen kerja ahli-ahli yang lain semakin bertambah. Tidak kurang juga ahli-ahli yang berpindah kerja jauh dari Sikuati. Akhirnya Kkrd semakin kurang aktif dan akhirnya telah mendapat surat pembatalan pendaftaran daripada Pendaftar Pertubuhan Malaysia. Apapun Kkrd tetap di dalam kenangan dan di dalam tempoh kewujudannya, sempat juga ia memberi sedikit sumbangan kepada bangsa Rungus.

Paling Popular

Senarai Blog...