Hari ini saya telah menghadiri Majlis Graduasi Pra Versiti ke-4 SMK Sikuati sebagai wakil jabatan saya. Majlis tersebut disambut dengan begitu teratur dan penuh simbolik. Di dalam ucapan En. Liasin Kaloh, Pengetua SMK Sikuati salah satu tujuan majlis tersebut ialah untuk memberi pengiktirafan kepada pelajar-pelajar tingkatan 6 yang akan menduduki peperiksaan STPM tahun ini. Seramai 109 orang pelajar tingkatan 6 atas SMK Sikuati, akan menduduki peperiksaan STPM tahun ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Jamal Abdul Hamid. Di dalam ucapannya beliau menggesa para pelajar agar tidak kenal jemu, bosan dan putus asa di dalam menempah kejayaan. Kata beliau kejayaan itu tiada noktahnya. Kejayaan mereka sampai ke tahap ini adalah permulaan kepada kejayaan yang lebih besar lagi. kejayaan mereka di periingkat STPM akan menjadi penentu kepada halatuju mereka selepas SPM.
Saya sempat berjumpa beberapa orang ibu bapa pelajar dan berbual dengan mereka sebelum majlis tersebut bermula. Jelas kelihatan kegembiraan dan komitmen untuk memberi sokongan kepda anak-anak mereka. Saya juga berasa gembira kerana beberapa orang bekas pelajar saya terlibat di majlis graduasi tersebut. Di antara bekas-bekas pelajar saya yang turut bergraduasi ialah Rellyn Neena Allen James, Calvin Lee dan banyak lagi.
Tahniah kepada seluruh warga SMK Sikuati di atas kejayaan menganjur program yang sangat bermakna ini. Kepada semua calon-calon STPM tahun 2010, semoga mendapat keputusan yang cemerlang dan berpeluang melanjutkan pelajaran ke menara gading pada tahun hadapan. Ingat selalu pesanan Prof. Madya Dr. Jamal Abdul Hamid, "Nothing is imposible and the imposible is posible". Semoga maju jaya selalu.