Monday, October 25, 2010

Dilema Magahau- antara identiti, budaya dan kepercayaan.

Petang tadi, selepas urusan kerja di Kota Marudu, saya terjumpa secara tidak dirancang, En. Mojial Mongulizang, seorang ketua anak negeri (KAN) di Mahkamah Anak Negeri Matunggong. Di dalam pertemuan tersebut saya sempat berbual dengan beliau, di sebuah restauran di pekan Goshen, Kota Marudu. Semasa perbualan tersebut, saya sempat juga menyelitkan beberapa soalan mengenai Magahau. Beliau adalah di antara ketua anak negeri (KAN) yang paling berpengalaman di Mahkamah Anak Negeri Matunggong. Beliau juga adalah salah seorang pembentang artikel di Konvensyen Undang-undang Adat Matunggong 2009.

Dari kiri: En. Benjohn Simbaku, KAN Mojial Mongulizang,
En. Oriun Merindu dan Pdt. Jimmy Assam (Presiden PCS)
sedang berehat semasa
Konvensyen Undang-undang Adat Matunggong 2009.
Menurut beliau, Magahau pada masa dahulu, sememangnya sering diiringi dengan upacara mamapak. Ini disebabkan oleh kebiasaan bangsa Rungus pada ketika itu, iaitu setiap binatang piliharaan yang disembelih mesti ada hubungkaitnya dengan ritual (penyembahan). Menurutnya lagi, walau ayam sekalipun, jika disembelih mestilah ada kaitannya dengan penyembahan. Apatah lagi Magahau yang sudah tentunya akan mengorbankan banyak binatang untuk dijadikan lauk pauk semasa pesta tersebut.

Walau bagaimanapun di zaman yang moden ini, beliau juga bersetuju bahawa Magahau boleh dianjurkan tanpa upacara mamapak. Ini disebabkan kepercayaan lama tersebut tidak lagi diamalkan oleh bangsa Rungus yang sudah memeluk agama Kristian ataupun Islam. Menurut beliau, sungguhpun upacara mamapak tersebut disingkirkan dari pesta Magahau namun pesta tersebut masih boleh dinamakan Magahau. Ini  kerana yang dimaksudkan dengan Magahau itu sendiri ialah pesta tersebut dan bukannya upacara mamapak.  Upacara mamapak hanya bertindak sebagai pelengkap Magahau pada zaman dahulu bagi memenuhi hal-hal yang berkaitan dengan kepercayaan Rungus labus.

OKK Jamalun Ojimal, Pengerusi Penganjur
Konvensyen Undang-undang Adat
Matunggong 2009
Penjelasan beliau tersebut adalah selari dengan penjelasan yang dibuat oleh Konvensyen Undang-undang Adat Matunggong 2009. Saya sendiri terlibat di dalam penganjuran konvensyen yang diadakan selama tiga hari dua malam tersebut dan telah menghadiri sesi pembentangan artikel mengenai konsep Magahau oleh Pdt. Parasin Bongkol. Menurut OKK Jamalun Ojimal, Ketua Daerah, Mahkamah Anank Negeri Matunggong, penganjur  bukan sahaja berhasrat untuk memperjelaskan konsep Magahau melalui konvensyen tetapi juga mahu mencadangkan kepada kerajaan agar Magahau dijadikan acara tahunan. Bagaimanapun, disebabkan masa konvensyen yang singkat dan banyak pula topik yang dibentangkan, maka konvensyen tersebut tidak sempat membuat resolusi untuk mencadangkan perkara tersebut kepada kerajaan. OKK Jamalun Ojimal adalah Pengerusi Penganjur Konvensyen Undang-undang Adat Matunggong 2009.

Mengapakah Magahau perlu dirayakan semula? Masih relevankah Magahau pada zaman ini?
Saya sendiri pernah bertanya mengenai persoalan ini. Ada yang berpendapat bahawa ini perlu untuk mengetengahkan kebudayaan sebenar bangsa Rungus memandangkan pesta Kamatan bukanlah perayaan bangsa Rungus. Ada juga yang berpendapat, konsep pesta Magahau yang tidak mempunyai unsur penyembahan berhala boleh menjadi alternatif pesta-pesta lain yang pada asalnya dirayakan untuk tujuan ritual (penyembahan berhala). Sebahagian lagi berpendapat, magahau boleh menjadi identiti bagi bangsa Rungus. Kalau Kadazan mempunyai pesta Kamatan, Murut ada pesta Kalimaran maka mereka mahu Rungus dikenali dengan pesta Magahau. 

Tidak kurang juga yang berpendapat sebaliknya iaitu tidak mahu Magahau dirayakan semula. Apabila saya bertanya mengapa? Semua jawapan yang saya terima ialah "...kerana Magahau itu mempunyai unsur penyembahan berhala". Memang cukup jelas di dalam Alkitab bahawa penyembahan berhala itu adalah dosa. Bahkan mengenang penyembahan berhala oleh nenek moyang itu juga adalah berdosa kata beberapa pemimpin gereja yang memberi pandangan mereka kepada saya.

Kalaulah benar, pesta Magahau itu juga mempunyai unsur penyembahan berhala, maka saya berpendapat ada kewajarannya Rungus Kristian menentang pesta Magahau dihidupkan kembali. Bagaimanapun, tafsiran Konvensyen Undang-undang Adat Matunggong 2009 mengenai Magahau, jelas menyatakan bahawa pesta Magahau itu sendiri tidak mempunyai unsur penyembahan berhala. Pesta Magahau diadakan untuk berkongsi kemeriahan dan kegembiraan kerana mendapat rezeki yang mencukupi kususnya hasil tanaman dan makanan berlebihan serta kehidupan yang makmur. Diperjelaskan juga oleh mereka yang berpengalaman di dalam bidang itu, di dalam konvensyen tersebut bahawa upacara Mamapak itu hanyalah pelengkap kepada pesta Magahau untuk memenuhi kebiasaan-kebiasaan dan kepercayaan lama Rungus labus dan bukan sebahagian daripada tujuan pesta Magahau diadakan. Dan dipersetujui pula di dalam konvensyen tersebut bahawa pesta Magahau boleh diadakan tanpa upacara Mamapak di zaman moden ini kerana upacara Mamapak bukanlah tujuan Magahau diadakan. Oleh itu saya berpendapat bahawa, jika dengan hanya menyambut pesta Magahau sahaja tanpa melibatkan upacara Mamapak, maka ia tidaklah bercanggah dengan ajaran Kristian dan masih relevan pada masa kini.

Mengapakah ada isu pesta Magahau bertiup kencang?
Saya berpendapat terdapat beberapa faktor yang menyebabkan wujudnya isu di dalam pelaksanaan Magahau. Di antaranya ialah:
  1. Ramai yang tidak dapat membezakan pesta Magahau dan upacara Mamapak itu sendiri. Bagi mereka pesta Magahau dan upacara Mamapak tersebut adalah sama dan bertujuan untuk menyembah tuhan Rungus labus. Perkara ini berlaku kerana ramai yang tidak pernah menghadiri pesta Magahau terutamanya generasi baru. Dikatakan bahawa kali terakhir pesta Magahau dirayakan ialah pada sekitar tahun 1980an. Ada juga yang pernah menghadiri pesta Magahau tetapi tidak pernah terlibat secara langsung di dalam pengurusan pesta itu sendiri. Bagi yang tidak pernah menghadiri pesta Magahau seperti saya, apabila menerima penjelasan daripada konvensyen, saya boleh menerimanya dengan mudah. Tetapi bagi mereka yang pernah menghadiri pesta Magahau tetapi tidak pernah terlibat dengan pengurusan pesta itu sendiri dan tidak pernah menerima penjelasan mengenai konsep sebenar pesta Magahau, berasa sukar untuk menerima penjelasan konvensyen tersebut. Konsep sedia ada mengenai pesta Magahau di dalam fikiran mereka, yang kurang tepat, menyukarkan mereka untuk menerima penjelasan yang dibuat melalui konvensyen tersebut.
  2. Di dalam pelaksanaan pesta Magahau 2009 anjuran Sabah Momogun Rungus Association (SAMORA), upacara Mamapak telah diadakan seiring dengan pesta Magahau. Walaupun upacara Mamapak tersebut diadakan di tempat yang berbeza iaitu kira-kira 1km dari lokasi Magahau, tetapi ia dilaksanakan pada hari pertama Magahau dan dibiayai oleh SAMORA. SAMORA telah membiayai upacara Mamapak tersebut  atas permintaan pihak-pihak tertentu bagi tujuan menarik pelancong. SAMORA bersetuju membiayai upacara Mamapak tersebut atas kapasitinya sebagai sebuah persatuan mempunyai ahli pelbagai agama (multi-religion). Ini menimbulkan isu khususnya di kalangan Rungus Kristian. Mereka berpendapat SAMORA telah menggalakkan kembali upacara penyembahan berhala tersebut. Lebih teruk lagi, ada yang beranggapan ada AJK penganjur Magahau yang beragama Kristian juga terlibat di dalam penganjuran upacara Mamapak. Sebenarnya upacara Mamapak tersebut dibiayai oleh SAMORA tetapi dianjurkan dan dikendalikan oleh Rungus labus sepenuhnya. Sementara pesta Magahau dibiayai oleh SAMORA dan dianjurkan bersama oleh SAMORA dan PDK Matunggong.
  3. Mentaliti sesetengah orang Rungus yang tidak mudah mempercayai atau suka mempertikaikan sesuatu yang diputuskan oleh bangsanya sendiri. Semacam ada syndrom memandang rendah keupayaan bangsanya sendiri. Kita sudah ada resolusi dan penjelasan melalui konvensyen yang dihadiri oleh pengamal undang-undang adat dan ketua kampung dari seluruh daerah yang mempunyai penduduk asalnya Rungus namun masih ada yang lebih percaya dengan penjelasan yang diberikan oleh individu di kedai kopi, yang dibuat secara tidak formal dan tidak bersistem. "Ka bo dioti oi Magahau diti mamapak" ka. "Ka" yang lebih dipercayai berbanding resolusi yang dibuat melalui seebuah konvensyen yang teratur dan bersistem serta dihadiri oleh pakar-pakar di dalam bidang masing-masing. Tetapi lazimnya jika pemimpin bangsa lain yang membuat ketetapan untuk bangsa Rungus, tidak ramai orang Rungus yang membantah walaupun keputusan dibuat tanpa melalui konvensyen. Saya tidak akan memberi contoh di sini untuk mengelak sensitiviti bangsa lain. Namun sebagai orang Rungus, kita boleh fikirkan bersama sejauh mana kebenaran apa yang saya perkatakan ini. 
Pandangan intelek Rungus mengenai Magahau dan tinjauan pendapat umum
Walaupun dengan hanya tiga faktor di atas sahaja, pesta Magahau 2010 telah menjadi bahan perbincangan pemimpin-pemimpin Rungus Kristian dan masyarakat Rungus keseluruhannya. Di dalam beberapa sesi percambahan minda dengan rakan-rakan Rungus yang berpendidikan, kebanyakan mereka berpendapat bahawa ada keperluan pesta Magahau dihidupkan kembali untuk mengetengahkan identiti bangsa Rungus di mata pemimpin-pemimpin negara di samping memelihara kebudayaan tersebut yang semakin dilupai. Namun mereka juga tidak mahu upacara Mamapak yang nyata sekali mempunyai unsur penyembahan berhala diingati semula walaupun dengan hanya lakonan atau simbolik semata-mata semasa pesta Magahau.

Sehubungan dengan itu, SAMORA telah melakukan inisiatif untuk membuat tinjauan pendapat secara online di http://magahaurungus.blogspot.com/ untuk mengetahui pendapat masyarakat Rungus mengenai persoalan "Wajarkah SAMORA memberi bantuan kewangan kepada Rungus labus untuk menganjur dan melaksana upacara Mamapak sempena pesta Magahau?". Menurut En. Jelani Hamdan, Presiden SAMORA, "Kita memang tahu majoriti tak setuju mamapak tapi kita kena ada bukti". Keputusan undian bagi tinjauan pendapat tersebut akan digunakan sebagai dasar oleh SAMORA untuk membuat keputusan sama ada akan membiayai upacara Mamapak atau tidak lagi pada masa akan datang.

Rungus 1Malaysia juga sedang membuat tinjauan pendapat umum di http://rungus1m.blogspot.com/ mengenai persoalan "masih perlukan pesta Magahau dirayakan pada zaman moden ini?". Keputusan tinjauan ini akan dimaklumkan kepada AMT SAMORA semasa mesyuarat AMT nanti untuk dipertimbangkan sebagai salah satu dasar membuat keputusan-keputusan mengenai pesta Magahau pada masa akan datang. 

Keperluan identiti Rungus
Lazimnya sesuatu bangsa boleh dikenali melalui dua identiti utama iaitu bahasa dan kebudayaan. "Bahasa jiwa bangsa", itulah slogan yang saya selalu dengar yang menggambarkan betapa pentingnya bahasa kepada sesuatu bangsa. Identiti kedua ialah kebudayaan. Bidang kebudayaan ini agak luas dan pelbagai tetapi kebudayaan yang paling menonjolkan identiti sesuatu bangsa ialah perayaan. Sebagai contoh masyarakat Cina dikenali dengan perayaan Tahun Baru Cina, masyarakat Kadazan dengan pesta Kamatan dan Murut dikenali dengan pesta Kalimaran. Setiap perayaan tersebut adalah unik untuk bangsa masing-masing. Oleh itu ia mampu mengetengahkan identiti sesuatu bangsa dengan berkesan.

Apakah identiti Rungus? Jika anda menjawab bahasa, apa pandangan anda mengenai penutur bahasa Rungus 100 tahun dari sekarang. Masih ramaikan generasi baru berumur 15 tahun ke bawah yang boleh bercakap bahasa Rungus sefasih generasi berumur 30an sekarang ini? Apa penyebabnya? Mungkin ramai yang menjawab ibu bapa sebagai penyebab utama. SAMORA sebagai pertubuhan bangsa Rungus berusaha untuk mengurangkan gejala seperti ini dengan memperjuangkan siaran radio melalui RTM dalam bahasa Rungus. Supaya anak-anak kita berasa bangga dengan bahasa Rungus dan mahu mempelajarinya. Buat masa ini, SAMORA berusaha untuk mewujudkan Radio Rungus Online sementara menunggu kelulusan dari RTM.

SAMORA juga telah menganjur pesta Magahau 2009 dan pada tahun ini, Magahau 2010 sedang dalam persediaan. Objketif utamanya ialah untuk mengetengahkan identiti bangsa Rungus yang unik melalui pesta Magahau. Sejauh manakah penganjuran kali kedua ini berjaya? Semuanya ini amat bergantung kepada masyarakat Rungus sendiri. Apa pula implikasinya jika Rungus tidak mempunyai identiti yang jelas?
  1. Rungus menjadi "invisible" di mata kerajaan. Oleh itu potensi untuk terpinggir di dalam arus pembangunan nasional adalah tinggi. Peserta Forum Halatuju Rungus pada 14 Ogos 2010 ada menyebut bahawa "sehingga sekarang belum pernah ada Rungus yang dilantik sebagai menteri penuh atau senator". Ini dipercayai sebagai salah satu kesan daripada identiti Rungus yang kurang jelas.
  2. Rakyat Malaysia tidak mengetahui apakah Rungus? Semasa saya ke Semenanjung Malaysia dahulu, apabila saya menyebut bangsa saya Rungus, mereka bertanya balik, "Apa benda tu? Tak pernah dengarlah...".  Ini adalah indicator identiti bangsa yang kurang jelas. Nama bangsa yang tertera di dalam surat beranak saya adalah Kadazan. Dan ramai lagi yang senasib dengan saya. Apa penyebabnya? Saya difahamkan bahawa pada ketika itu, tidak ada kod untuk bangsa Rungus di Jabatan Pendaftaran Negara menyebabkan orang Rungus yang mendaftar surat beranak terpaksa memilih untuk didaftarkan sebagai bangsa Kadazan atau Dusun. Untuk kes bancian penduduk pula, kali terakhir bancian dibuat yang ada kod khas untuk bangsa Rungus ialah pada sekitar tahun 1980an, menurut maklumat yang diterima semasa Forum Halatuju Rungus 2010. Selepas itu, Rungus lenyap di dalam perangkaan pemduduk Malaysia. Mujurlah bancian penduduk tahun 2010 sudah mempunyai kod khas untuk bangsa Rungus.
Penutup

Secara ikhlas saya berpendapat, pesta Magahau perlu dihidupkan kembali pada zaman moden ini untuk mengetengahkan identiti Rungus yang sebenar. Jika upacara Mamapak itu menjadi halangan, saya berpendapat adalah tidak menjadi satu kerugian kepada bangsa Rungus jika upacara penyembahan berhala tersebut ditiadakan. Lagipun sudah jelas melalui penjelasan Konverensyen Undang-undang Adat Matunggong 2009 bahawa upacara Mamapak bukanlah sebahagian daripada pesta Magahau tersebut. Upacara Mamapak hanya bertindak sebagai pelengkap dan boleh ditiadakan jika tidak berkenaan lagi.

Saya berpendapat, pada ketika bangsa kita Rungus menghadapi dilema seperti ini, kita perlu mempertimbangkan yang mana lebih penting di antara memelihara (preserve) kebudayaan kita yang asal atau kepentingan bangsa Rungus pada masa kini. Pada ketika ini bangsa kita Rungus memerlukan identiti yang jelas dan kita perlu mengunakan pesta Magahau untuk mengetengahkan identiti bangsa kita. Sementara upacara Mamapak hanya berpotensi untuk mengheret kita ke arah konflik percanggahan pendapat yang lebih serius. Ada sesetengah orang Rungus yang tidak segan-segan lagi menunjukkan perasaannya yang anti-SAMORA dengan saya sendiri. Ini bermaksud mereka tidak nampak perjuang ikhlas SAMORA untuk bangsa Rungus. Mereka hanya nampak SAMORA memperjuangkan upacara Mamapak.

Walaupun SAMORA hanya membiayai upacara Mamapak, namun pandangan orang ramai mengatakan SAMORA yang menganjur dan melaksanakan upacara Mamapak. Orang ramai tidak dapat membezakannya. Saya percaya, semua AMT SAMORA ikhlas dengan perjuangan untuk mengetegahkan identiti bangsa Rungus, namun orang ramai (orang Rungus) boleh keliru dengan penglihatannya yang  terhad. Kadang-kadang apa yang kelihatan di luar tidak menggambarkan isi di dalamnya. Kesemua AMT SAMORA adalah bukan labus dan tidak ada keinginan untuk mamapak lagi seperti nenek moyang kita Rungus.  Oleh itu jika ada yang beranggapan AMT SAMORA telah menganjur dan mengelola upacara Mamapak, itu adalah tidak berasas, tanpa usul periksa (pre-judgement) dan mempunyai unsur  "generalization".


__________________________________________________________________________________
Nota
Jika  berminat untuk memberikan komen, anda boleh meninggalkan komen ada di link berikut: http://www.facebook.com/home.php?#!/pages/Rungus-1Malaysia/119011721490189.

Sunday, October 24, 2010

Pesta Gong 2010 di Kg. Sumangkap Matungong disambut meriah...

Cuaca agak terik di Kg. Sumangkap, PDK Matunggong tengahari tadi, di mana berlangsungnya Pesta Gong sejak 8.00am hingga 6.00pm. Pesta gong diserikan dengan pelbagai aktiviti termasuk pukulan gong oleh hampir 100 orang ketua kampung, ratu pesta gong, pelbagai tarian kebudayaan serta persembahan oleh artis-artis tempatan.
 
En. Steven mempromosi coconut soap
Gerai-gerai pameran yang memperagakan barang-barang buatan tempatan seperti produk-produk manik, kelapa dara dan pelbagai kraftangan menjadi pelengkap kepada pesta tersebut. Perkara yang menjadi kebanggaan saya ialah sudah ramai penduduk Matunggong khususnya bangsa Rungus yang terlibat di dalam penghasilan produk-produk baru yang berdaya maju. Saya sempat membeli coconut soap, salah satu produk yang dihasilkan oleh anak jati PDK Matunggong. Kebanyakan gerai memperagakan kraftangan yang berkonsepkan seni warisan bangsa Rungus.

Dianggarkan tidak kurang seribu pengunjung telah memeriahkan Pesta Gong yang berlangsung selama sehari tersebut. Sambutan paling hangat kelihatan semasa acara pertandingan ratu pesta gong. Dianggarkan tidak kurang 700 orang menonton berada di sekitar pentas utama semasa pertandingan diadakan.

Bersama En. Atung Mangabis
Saya sempat bertemu dengan beberapa orang kawan lama. Di antaranya ialah En. Atung Mangabis (mantan ADUN N4 Matunggong), En. Jopirun Danggang (Naib Ketua Pemuda I, Bahagian PBRS N4 Matunggong), En. Jopial Mochuha (AJK Bahagian PBRS N4 Matunggong), KAN Sokiping Taanyit, KAN Musilim Gudang, KAN Mojial Mogulizang, En. Morijohn Bisara (PK 1 SMK Pinawantai), ketua-ketua kampung, rakan-rakan guru, kontraktor-kontraktor dan ramai lagi. Saya perhatikan bahawa pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat dapat bergembira bersama dan bersosial dengan penuh harmoni. Sesungguhnya pesta seumpama ini bukan sahaja mampu mengetengahkan identiti Matunggong sebagai pengeluar gong terbesar di Malaysia tetapi juga mempereratkan lagi hubungan sesama manusia. Jelas diperhatikan di pesta tersebut bahawa konsep 1Malaysia bukan lagi satu impian tetapi sudah menjadi satu kenyataan di PDK Matunggong.
En. Oriun Merindu & Isteri

Saya difahamkan bahawa pegawai-pegawai kanan kerajaan serta ketua-ketua kampung telah memainkan peranan yang significant di dalam penganjuran pesta ini. Tahniah kepada En. Arnold Joibi (Penolong Pegawai Daerah PDK Matunggong) di atas penganjuran Pesta Gong 2010 yang begitu cemerlang. Namun saya juga difahamkan bahawa pengunjung pada tahun ini agak kurang berbanding pesta gong tahun 2009. Menurut En. Darwin Kunama (AJK Penganjur), perkara ini mungkin disebabkan oleh tarikh pesta gong pada tahun ini yang jatuh pada hari Ahad di mana kebanyakan umat Kristian bersembahyang dan tidak dapat meluangkan masa berkunjung ke pesta tersebut.

Gong terbesar di dunia
Satu perkara yang sangat menarik perhatian pengunjung Pesta Gong 2010 ialah gong yang dipercayai gong terbesar di dunia. Gong tersebut mempunyai diameter sepanjang 20 kaki. Ramai pengunjung termasuk diri saya, bergambar berlatarbelakangkan gong tersebut. Gong tersebut dikatakan berbunyi juga tetapi kualiti bunyinya tidaklah sama dengan kualiti bunyi gong yang biasa.

Sejak penganjuran pesta gong dimulakan di PDK Matunggong, saya difahamkan sudah banyak impak positif diperhatikan, khususnya di dalam bidang pelancongan dan aktiviti-aktiviti perniagaan yang berkaitan. Pesta yang dianjurkan sebagai aktiviti tahunan ini, telah menjadikan gong sebagai identiti utama bagi PDK Matunggong. Usaha ini adalah amat baik untuk negara dan mampu membahagiakan masyarakat jika dilakukan secara berterusan. Oleh itu, penganjuran Pesta Gong PDK Matunggong perlulah diteruskan pada masa-masa akan datang.


En. Jopirun Danggang


En. Jopirun Dangang, En. Darwin Kunama, KAN Mojial Mongulizang, dll 


KAN Sokiping Taanyit dan rakan-rakan lain


Rakan-rakan Ketua Kampung


En. Jopial Mochuha dan rakan-rakan lain

Rakan-rakan sedang bersosial

Saturday, October 23, 2010

Majlis Graduasi Pra Versiti ke-4 SMK Sikuati disambut penuh simbolik

Hari ini saya telah menghadiri Majlis Graduasi Pra Versiti ke-4 SMK Sikuati sebagai wakil jabatan saya. Majlis tersebut disambut dengan begitu teratur dan penuh simbolik. Di dalam ucapan En. Liasin Kaloh, Pengetua SMK Sikuati salah satu tujuan majlis tersebut ialah untuk memberi pengiktirafan kepada pelajar-pelajar tingkatan 6 yang akan menduduki peperiksaan STPM tahun ini. Seramai 109 orang pelajar tingkatan 6 atas SMK Sikuati, akan menduduki peperiksaan STPM tahun ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Jamal Abdul Hamid. Di dalam ucapannya beliau menggesa para pelajar agar tidak kenal jemu, bosan dan putus asa di dalam menempah kejayaan. Kata beliau kejayaan itu tiada noktahnya. Kejayaan mereka sampai ke tahap ini adalah permulaan kepada kejayaan yang lebih besar lagi. kejayaan mereka di periingkat STPM akan menjadi penentu kepada halatuju mereka selepas SPM.

Beliau turut menyentuh tentang pekeliling Kementerian Pendidikan Tinggi yang mengarahkan universiti memberi penumpuan bukan sahaja terhadap kecemerlangan akademik tetapi juga pembentukan "soft skills" di kalangan mahasiswa. "Soft skill" adalah kemahiran insani yang diperlukan oleh setiap individu untuk berinteraksi dengan baik, sentuhan kemanusiaan dalam pengurusan, karisma dan kepimpinan yang berketerampilan. Beliau turut menyebut kata-kata Mahatma Gandhi, "Knowledge without character ", yang perlu difikirkan bersama.

Saya sempat berjumpa beberapa orang ibu bapa pelajar dan berbual dengan mereka sebelum majlis tersebut bermula. Jelas kelihatan kegembiraan dan komitmen untuk memberi sokongan kepda anak-anak mereka. Saya juga berasa gembira kerana beberapa orang bekas pelajar saya terlibat di majlis graduasi tersebut. Di antara bekas-bekas pelajar saya yang turut bergraduasi ialah Rellyn Neena Allen James, Calvin Lee dan banyak lagi.
Tahniah kepada seluruh warga SMK Sikuati di atas kejayaan menganjur program yang sangat bermakna ini. Kepada semua calon-calon STPM tahun 2010, semoga mendapat keputusan yang cemerlang dan berpeluang melanjutkan pelajaran ke menara gading pada tahun hadapan. Ingat selalu pesanan Prof. Madya Dr. Jamal Abdul Hamid, "Nothing is imposible and the imposible is posible". Semoga maju jaya selalu.

Paling Popular

Senarai Blog...